Liga Super Malaysia Berita

Selepas 31 Ogos, separuh pasukan Liga Malaysia masih belum lengkapkan proses pelesenan kelab

Dianggarkan separuh daripada 24 pasukan Liga Malaysia masih belum melengkapkan proses pelesenan kelab.

Ini selepas tempoh bagi melengkapkan dokumentasi pengurusan pasukan berakhir pada 31 Ogos, semalam.

“Untuk kriteria bukan kewangan, masih ada 50 peratus pasukan yang masih perlu melengkapkan dokumentasi bukan kewangan,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam kepada Astro Arena.

“Memang ada pergerakan tetapi saya perlu menelitinya untuk mendapatkan maklumat terkini.”

Tempoh bagi melengkapkan dokumentasi kewangan pasukan pula akan berakhir pada 15 September ini.

Kata Stuart, ia akan memberi kesan besar jika sesebuah pasukan gagal melengkapkan dokumentasi tersebut serta proses penswastaan dan pemisahan FA ke FC pada 30 September ini.

“Selain daripada proses pelesenan, kami juga mempunyai proses mengubah daripada FA kepada FC dan proses pelesenan merupakan keperluan untuk bermain dalam Liga Divisyen 1 dan Liga Divisyen 2 di Malaysia.

“Mana-mana pasukan yang tidak menerima lesen pada tahun ini, pasukan akan jatuh ke Liga M3.”