Liga Premier Malaysia Berita

Kelantan: Yusri Che Lah bimbang isu dalam dan luar padang

Kelantan antara pasukan terawal yang perlu memulakan saingan liga apabila bertemu UKM FC dalam Liga Perdana di Stadium Selayang hari ini.

Namun, jurulatih pasukan Yusri Che Lah meluahkan rasa bimbang terhadap situasi pasukan yang tidak memihak kepadanya ketika ini.

Berbanding pasukan lain yang sudah lebih sebulan menjalani sesi latihan dan sempat mengadakan beberapa perlawanan persahabatan, Kelantan tidak mempunyai kelebihan sedemikian.

Ini selepas Kelantan lewat melengkapkan proses yang diperlukan, sehingga baru sahaja dibenarkan menjalani sesi latihan dan mengadakan satu perlawanan persahabatan.

“Pelbagai kesukaran yang dilalui, terutamanya apabila terdapat kecederaan dalam kalangan pemain utama. Malah, kita juga kekurangan sesi latihan,” katanya dalam video yang dimuatnaik oleh media rasmi Kelantan FA.

Yusri juga menganggap isu di luar padang seperti tunggakan gaji, hutang pasukan serta spekulasi pengambilalihan pasukan sedikit sebanyak mengganggu fokus pasukan.

“Saya mengharapkan kita lupakan sejenak perkembangan pasukan seketika, pasukan perlu bagi persaingan dalam liga.

“Kita hanya ada satu perlawanan persahabatan untuk menguji keserasian.

“Tapi saya harap perlawanan berdepan UKM FC ini dijadikan ruang kepada satu kecemerlangan aksi dan pasukan berusaha untuk mencapai sasaran walaupun agak sukar ketika ini.”

Pada masa sama, Yusri juga berharap Kelantan berebut peluang untuk layak ke Piala Malaysia.

“Ketika ini, cukup sukar sebab tak semua pemain dalam pasukan dapat beraksi dalam masa singkat.

“Alhamdulilah kita hanya ada lapan perlawanan dan jadual baru akan memungkinkan kita mendapat rehat yang cukup.

“Kita juga dapat memperbaiki kelemahan yang ada dan sekurang-kurangnya dapat menyaingi dan menempatkan diri dalam Piala Malaysia.”