Liga Super Malaysia Berita

Perak bakal lengkapkan proses penswastaan kelab bulan depan

Perak dilihat akan melengkapkan proses penswastaan kelab selewat-lewatnya pada pertengahan bulan Sept.

Ini selepas Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM, Firdaus Mohamed mendedahkan bahawa Perak merupakan pasukan paling bersemangat untuk melengkapkan proses penswastaan kelab.

“Perak antara yang cepat dan bersungguh untuk selesaikan penswastaan,” kata Firdaus kepada Kosmo.

“Kesemua dokumen yang diperlukan telah lengkap dan hanya menunggu untuk diproses mengikut prosedur ditetapkan.

“Mereka antara negeri yang paling proaktif dalam memastikan proses penswastaan dan juga pemisahan FA kepada FC diselesaikan.”

Dalam pada itu, Timbalan Presiden PAFA, Datuk Adly Shah Ahmad Tah berkata Perak sudah bersedia untuk bergerak ke arah profesional.

“Alhamdulillah FAM telah beri jaminan proses penswastaan kelab akan selesai tidak lama lagi, kita telah bentangkan segala dokumen diperlukan dan mereka berpuas hati.”