Liga Premier Malaysia Berita

Kuala Lumpur berunding dengan dua jutawan, bakal lantik CEO pertama

Setiausaha Agung Kuala Lumpur FA, Nokman Mustaffa mendedahkan pihaknya sedang berunding dengan dua jutawan yang berpangkalan di Lembah Klang yang berminat untuk mengambil alih pasukan itu pada musim 2021.

Utusan melaporkan, walaupun terdapat beberapa individu lain yang berminat, namun setakat ini ada dua ahli perniagaan yang benar-benar serius mahu mengambil alih pasukan Kuala Lumpur.

“Kita tidak boleh dedahkan namanya kerana ia masih di peringkat rundingan,” katanya kepada Utusan.

“Apa yang boleh saya beritahu, dua individu itu telah berbincang secara serius dengan KLFA cuma belum ada kata putus.”

Bagaimanapun, Nokman berkata pihak KLFA masih terbuka untuk berunding dengan mana-mana pihak.

“Pemilikan pasukan Kuala Lumpur masih terbuka kepada mana-mana individu atau syarikat yang berminat dan kita sedia bincang dengan syarat situasi menang-menang di antara kedua-dua pihak.

“Cuma, mereka jangan terus nak buat sesuka hati sebab FAM bagi masa dua tahun untuk persatuan melepaskan pasukan secara mutlak.

“Kena ingat lesen kelab masih perlu diuruskan oleh persatuan untuk saingan musim depan dan musim 2022 barulah kelab memohon sendiri.

“Jadi kalau boleh kita mahu individu yang boleh berkerjasama demi memajukan bola sepak Kuala Lumpur.”

KLFA sebelum ini meletakkan syarat mana-mana yang berminat mahu mengambil alih perlu mempunyai minimum RM5 juta semusim untuk mengendalikan pasukan itu.

Nokman juga yakin bahawa Kuala Lumpur akan melengkapkan penswastaan kelab tidak lama lagi.

“Buat masa ini kita sudah hampir melengkapkan proses penswastaan cuma masih mencari individu untuk menjadi CEO bagi memimpin kelab selepas proses permisahan.”