Jurulatih Kedah, Aidil Sharin meluahkan rasa lega dan berpuas hati apabila isu tunggakan gaji mula diselesaikan oleh pengurusan pasukan.
Ini selepas pasukan itu tidak mendapat gaji selama lima bulan, dan terpaksa mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha tanpa sumber pendapatan tetap.
Bagaimanapun, situasi itu akhirnya berakhir apabila pengurusan pasukan membayar gaji bagi bulan Julai pada minggu lalu.
Pengurusan Kedah juga akan membayar baki 60 peratus bagi gaji bulan Mac sebelum liga bersambung pada 26 Ogos ini manakala tunggakan gaji bagi bulan April hingga Jun akan dirunding dengan para pemain dan kakitangan pasukan.
“Syukur alhamdulillah, semangat pasukan ini masih tinggi dan momentumnya masih ada selepas kami menerima gaji untuk sebulan,” katanya kepada Astro Arena.
“Saya fikir ia sesuatu yang normal dan setiap pemain dapat bernafas dan tersenyum sedikit.
“Apa yang penting, kami menerima berita seperti yang mereka janjikan dan Insya-Allah, kami sedang menantikannya supaya apabila selepas kami bertemu PDRM dalam perlawanan pertama, kami sudah tidak perlu risau lagi mengenai tunggakan gaji.
“Ia dapat membantu memotivasikan setiap pemain.”