Liga Super Malaysia Berita

Kurang perlawanan Liga Super, peluang Perak rampas takhta dari JDT?

Keputusan MFL untuk memendekkan saingan Liga Malaysia kepada tujuh perlawanan sahaja musim ini memberi peluang kepada Perak untuk mencabar kedudukan JDT selaku juara bertahan Liga Super.

Ini disebabkan Perak ketika ini menduduki tangga kedua dengan lapan mata hasil daripada dua kemenangan dan dua keputusan seri, hanya beza dua mata dengan JDT.

Shahrel Fikri Md. Fauzi berkata, jika Perak mempamerkan aksi konsisten, tidak mustahil untuk pasukannya mencipta kejutan pada musim ini.

“Ia tidak mustahil sebenarnya kalau Perak dapat memberikan komitmen dengan baik,” katanya kepada Kosmo.

“Setakat ini, kami cuma dibezakan dua mata dengan pendahulu Liga Super iaitu JDT.

“Jadi, saya rasa ada peluang sebab hanya tujuh perlawanan sahaja lagi diharungi.

“Perak mampu untuk memberi cabaran kepada semua pa­sukan dan akan lebih berjaya pada tahun ini.”

Shahrel juga beraksi dengan baik apabila menjaringkan tiga gol daripada empat perlawanan, meskipun Perak mempunyai penyerang import.

Malah, pemain berusia 26 tahun itu percaya rakan pasukannya sudah mendapatkan semula momentum dan stamina masing-masing.

Perak akan berdepan Melaka pada 26 Ogos ini di Ipoh.