Liga Premier Malaysia Berita

Pemilikan pasukan Kelantan: KAFA mula bincang dengan Norizam Tukiman

Naib Presiden KAFA Ahmad Muzakkir Hamid mengesahkan pihaknya sudah memulakan perbincangan dengan pakar pelaburan Norizam Tukiman bagi proses pengambilalihan pasukan Kelantan.

Ini selepas semua pasukan Liga Malaysia perlu melengkapkan proses penswastaan dan pemisahan daripada persatuan bolasepak kepada kelab bolasepak sebelum 30 Sept.

Muzakkir berkata, Norizam menunjukkan kesungguhan yang tinggi untuk menyelamatkan pasukan Kelantan.

“Bagaimanapun terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti secara mendalam, dan kami tidak boleh mengeluarkan kenyataan lanjut sebelum keputusan terakhir dibuat,” katanya kepada Bernama.

“Kami minta penyokong memberikan sokongan dan doa, kepada usaha persatuan untuk membawa khabar gembira kepada bola sepak Kelantan.

“Bola sepak sukan paling berpengaruh di Kelantan dan telah menjadi hiburan tradisi rakyat negeri ini, yang perlu dipertahankan.”

Norizam sebelum ini meminta KAFA mengemukakan beberapa perkara iaitu akaun semasa (audit), perancangan pasukan, struktur organisasi, pendapatan (aliran tunai) dan analisis SWOT (kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman).

Ini bagi mengenalpasti sama ada pengambilalihan tersebut dapat direalisasikan memandangkan Kelantan sedang menanggung beban hutang sekurang-kurangnya RM5 juta, termasuk tunggakan bekas pemain dan jurulatih, selain berdepan dengan tiga kes FIFA.