Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor buat pertama kalinya mendedahkan bahawa pihak pengurusan terdahulu menanggung hutang sebanyak RM10.6 juta.
Ini selepas beliau dilantik sebagai presiden Kedah FA selepas berlaku peralihan kuasa kerajaan negeri.
Malah, masalah yang ditanggung persatuan bukan hanya soal tunggakan gaji pemain tetapi juga melibatkan tunggakan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan penyedia tiket pengangkutan pasukan.
“Kenapa buat kontrak gaji pemain sampai cecah RM120,000, semua ini buat tidak ukur baju di badan sendiri,” katanya kepada Bernama.
“Kesilapan telah pun berlaku, tetapi peminat duduk diam sahaja dan adakah sekarang peminat mahu saya ambil duit orang miskin, anak yatim dan ibu tunggal, untuk diberi kepada pemain.”
Sanusi bagaimana pun menjelaskan, persatuan akan mengadakan mesyuarat pada 3 Ogos bagi mencari penyelesaian, selain menilai semula pelaksanaan beberapa perkara di bawah pengurusan terdahulu.
“Kalau perlu ‘overhaul’ atau buat pemotongan gaji, saya akan lakukan. Kalau keupayaan sebenar adalah bayar gaji RM20,000, kita bayar itu sahaja, dan siapa yang sanggup bermain untuk negeri Kedah dengan bayaran gaji itu sila tunggu.
“Kalau siapa yang rasa mereka patut dapat bayaran gaji lagi tinggi, Kedah buka pintu kepada mereka untuk cari tempat yang lebih baik dari aspek kewangan. Tetapi, saya rasa semua pemain Kedah mempunyai semangat cintakan negeri yang tinggi.”
Sanusi juga berpandangan kerajaan negeri tidak boleh sewenang-wenangnya menyalurkan dana atau peruntukan kepada Persatuan Bolasepak Kedah.
Ini selepas persatuan bolasepak negeri itu masih belum menyelesaikan tunggakan gaji pemain meskipun sudah tertunggak selama lima bulan dan sudah pun melantik barisan kepimpinan baharu.
“Ada yang suruh ambil sahaja duit dari mana-mana untuk selesaikan masalah ini, tetapi saya tidak akan buat macam itu.
“Itu duit untuk golongan yang memerlukan dan saya tegas dengan pendirian saya.
“Saya tahu, peminat prihatin dengan nasib pemain, tetapi isu ini sudah lama berlaku. Masa itu, tiada siapa yang bersuara tetapi bila saya baharu sahaja memegang jawatan sebagai presiden, semua merungut dan hentam saya.”