Kuching FA mendedahkan bahawa salah seorang pemainnya disahkan positif COVID-19.
Walaupun tidak mendedahkan nama, pemain itu menghidapi virus itu ketika sedang bertugas di Hospital Sentosa dan diklasifikasikan dari kluster Hospital Sentosa.
“Oleh itu, kesemua aktiviti latihan kami diberhentikan sementara waktu dan mengikuti panduan dan arahan dari pihak berkuasa demi keselamatan pemain-pemain dan masyarakat,” menurut kenyataan.
“Pihak kami sentiasa menekankan kepada kepatuhan dengan setiap SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan dan MFL dalam aktiviti latihan harian kami.
“Sama-sama kita doakan agar kesemua pemain dan staf kejurulatihan dijauhkan dari pandemik ini dan semoga pemain tersebut cepat sembuh.”
Ini bermakna pemain Kuching FA merupakan pemain Malaysia pertama yang positif COVID-19 selepas lima bulan wabak itu merebak ke seluruh dunia, memaksa kerajaan untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan.
Malah, ia agak mengejutkan kerana berlaku selepas hanya seminggu MFL mengumumkan bahawa Liga Malaysia akan bersambung pada 26 Ogos.