Liga Super Malaysia Berita

Selangor tidak dibenarkan guna Stadium Shah Alam musim ini

Pengurus pasukan Selangor, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid mengesahkan pasukannya tidak dibenarkan untuk menggunakan Stadium Shah Alam sebagai venue tuan rumah apabila Liga Super bersambung pada 26 Ogos ini.

Beliau berkata perkara itu diputuskan oleh MFL yang menganggap stadium itu tidak mengikuti kriteria yang ditetapkan.

Ini kemungkinan disebabkan kerosakan bumbung yang berlaku pada awal musim dan walaupun MFL memberikan tempoh untuk memperbaiki kerosakan itu, kos yang tinggi menyebabkan kerja-kerja itu tidak dapat dilaksanakan.

“Saya boleh sahkan kita tak dapat gunakan Stadium Shah Alam sebab tidak melepasi piawaian yang dikehendaki oleh pihak MFL,” katanya kepada Harian Metro.

“Oleh itu kita sudah memohon Stadium Mini UiTM sebagai gelanggang ganti namun segala-galanya terpulang kepada pihak UiTM dan MFL untuk meluluskannya.”

Walaupun kehilangan stadium keramat, Mahfizul tidak berasa ia akan menjejaskan prestasi pemain mahupun corak permainan pasukan.

“Pemain amat komited dan bersungguh-sungguh dalam latihan dan saya fikir perubahan stadium ini tidak akan menjejaskan pasukan.

“Kita akan cuba aturkan latihan di venue baharu selepas mendapat lampu hijau daripada MFL selain turut menjaga SOP untuk elak COVID-19.”