Liga Super Malaysia Berita

MFL: Format Liga Super, Liga Perdana kekal musim ini

CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menegaskan soal kelayakan pasukan ke Liga Super dan penyingkiran pasukan ke Liga Perdana kekal dengan format asal seperti musim-musim sebelum ini.

Ini selepas Liga Malaysia akan bersambung pada 26 Ogos ini, namun akan beraksi dengan tujuh perlawanan sahaja.

Ini tidak memberi kelebihan dan peluang kepada pasukan yang menduduki di tangga bawah liga untuk cuba menyelamatkan diri daripada tersingkir mahupun pasukan yang mahu layak ke Liga Super.

Ghani bagaimanapun menganggap MFL tidak mempunyai pilihan lain selain daripada meneruskan format asal dan semua pihak perlu menerimanya selepas saingan liga terpaksa ditangguhkan akibat wabak COVID-19.

“Untuk adil, memang tiada keadilan pada tahun ini,” katanya kepada Astro Arena.

“Seperti yang saya telah katakan dahulu, ada dua situasi dan tiada yang menang disebabkan COVID-19 tetapi kelayakan dan penyingkiran liga tetap ada pada tahun ini.”

Pada masa sama, Ghani mendedahkan bahawa perbincangan akan diadakan antara Liga Bolasepak Amatur (AFL) dan FAM untuk menyelesaikan isu penyingkiran ke Liga M3 dan kelayakan ke Liga Perdana selepas seluruh liga amatur dibatalkan pada musim ini.

“Di peringkat AFL dan FAM, kami akan merancang bagaimana caranya untuk memilih dua pasukan daripada Liga AFL, yang akan dinaikkan ke Liga Perdana.”