Liga Premier Malaysia Berita

Ini luahan Hashim Mustapha terhadap nasib bolasepak Kelantan

Hashim Mustapha sudah cukup sinonim dengan bolasepak Kelantan, beraksi lebih 10 tahun dan turut berkhidmat sebagai jurulatih selepas bersara.

Beliau mengharungi pelbagai pahit manis sepanjang berada dengan pasukan Kelantan, namun Hashim mengakui beliau terkilan dengan masalah kewangan yang dihadapi pasukan kesayangannya ketika ini.

“Nama Kelantan ini nama besar dalam bola sepak,” katanya kepada Harian Metro.

“Sepatutnya Kelantan bertanding dalam Liga Super ataupun Liga Perdana.

“Ini dah jadi macam ini saya pun tak tahu nak kata apa sebabnya hutang terlalu banyak.”

Hashim juga menggangap tanggungan hutang yang terlalu tinggi menyukarkan KAFA untuk menarik penaja baharu.

“Saya rasa tak ada orang nak jadi Presiden KAFA buat masa terdekat ini, ialah sebab bila dah pegang jawatan itu… hutang itu terlalu banyak, hutang yang lama-lama kecuali FAM atau MFL beri kelonggaran.

“Sesiapa pun yang jadi presiden tak payah bayar hutang lama-lama, cuma teruskan sahaja tapi dengan bersyarat tak boleh berbelanja besar untuk tempoh yang lama. Dan mungkin boleh bayar sikit-sikit maknanya ada perjanjian.

“Kalau terpaksa main dalam Liga M3 pun tak apa. Kalau cara ini boleh adalah sikit cahaya. Macam contoh, takkan baru masuk kerja hari ini dah nak kena bayar hutang.”

Hashim juga menganggap bolasepak Kelantan perlu diselamatkan untuk memastikan masa depan bakat akar umbi pemain dari negeri itu tidak terabai begitu sahaja.

“Mungkin untuk kes pemain tempatan FAM boleh bantu. Tapi untuk kes FIFA membabitkan pemain import, agak sukar. Kalau ikutkan gaji saya sebagai jurulatih Piala Presiden Kelantan tahun yang lepas-lepas pun tak dapat lagi.

“Bagi saya yang penting adalah kita selamatkan KAFA kerana kalau KAFA dah tak ada, bola sepak di Kelantan boleh ‘mati’ dan pemain-pemain kelahiran Kelantan terpaksa keluar untuk bermain bola sepak.”