Liga M3 Berita

Liga M3 kini dikendali oleh FAM

Liga M3 dan M4 di bawah Amateur Football League (AFL) akan dikendalikan semula oleh FAM.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Telah disahkan keputusan MFL untuk menyerahkan AFL iaitu badan pengendali Liga M3 dan M4 kepada FAM,” kata kenyataan rasmi FAM.

Keputusan itu juga dibuat selepas semua liga di bawah AFL termasuk liga negeri dibatalkan pada musim ini ekoran wabak COVID-19.

Dalam pada itu, FAM telah menetapkan Kongres Tahunan Kali Ke-56 FAM akan diadakan pada 29 Ogos ini.

Selain itu, jawatankuasa membuat keputusan untuk melantik seorang pengerusi dan tiga pegawai berkecuali menganggotai jawatankuasa bebas yang dibentuk bagi memastikan proses pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM Penggal 2021-2025 pada Kongres FAM 2021 dijalankan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak di dalam industri atau keluarga bola sepak Malaysia.

Kata kenyataan itu, Jawatankuasa Pemilihan dibentuk dalam usaha FAM bagi memastikan sistem pemilihan FAM adalah selaras dengan amalan tadbir urus yang baik dan ketelusan yang diguna pakai oleh AFC dan FIFA.

FAM turut meluluskan cadangan pindaan Statut FAM bagi memastikan statut di peringkat Ahli Gabungan FAM dapat diselaraskan dengan apa yang wujud dalam Statut FAM supaya ia selari dengan FAM, AFC dan FIFA.

Pindaan Statut FAM ini turut mengambil kira konsep pemisahan di antara Persatuan Bola Sepak (FA) dan Kelab Bola Sepak (FC).