Liga Super Malaysia Berita

Vincent Tan: Kerajaan benarkan Luqman Hakim ke Belgium

Pemilik kelab Belgium, KV Kortrijk, Tan Sri Vincent Tan mendedahkan bahawa kerajaan telah memberikan kebenaran kepada Luqman Hakim Shamsudin untuk keluar negara secara rasmi pada Jumaat lepas.

Beliau berkata, pemain berusia 18 tahun itu juga telah mendapat Perakuan Tingkah Laku (Certificate of Good Conduct) yang akan digunakan untuk melengkapkan proses permit kerja dan visa di Kedutaan Belgium.

Malah, Luqman juga sudah menerima Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) selepas mencapai persetujuan dengan Selangor pada 4 Julai lepas.

“Dua hari selepas itu, Luqman telah menandatangani kontrak rasmi KV Kortrijk selama lima tahun dan dianggarkan meraih pendapatan gaji tahunan antara RM400,000 sehingga RM500,000,” kata Vincent kepada Sinar Harian.

“Jadi saya telah menulis surat kepada Menteri Belia dan Sukan mengenai status Luqman dan juga mengundangnya ke majlis pengenalan Luqman sebagai pemain KV Kortrijk secara rasmi minggu ini.

“Sekiranya semua berjalan lancar, liga di Belgium dijangka bermula pada akhir Ogos atau awal September depan.”

Vincent turut mengesahkan Luqman dijangka berlepas ke Belgium pada awal bulan depan.

“Saya juga dimaklumkan bahawa Duta Besar Belgium di Malaysia, Pascal H. Gregoire telah mengikuti perkembangan Luqman di laman sosial dan memberi semangat kepada Luqman di mana saya ingin merakamkan terima kasih kepadanya.”