Luar Negara Berita

Jaami Qureshi dipantau skuad B-19 negara

Pengurus pasukan B-19, Datuk Kamarul Ariffin mendedahkan pihaknya sememangnya berminat untuk melihat Jaami Qureshi dan memantau perkembangan pemain muda itu.

Beliau berkata, pemain itu yang kini beraksi dengan skuad remaja bagi salah sebuah kelab Premier League, Brighton dianggap mempunyai potensi yang tinggi dan mampu meningkatkan kualiti skuad negara.

“Pemain daripada Brighton yang dah mewakili England B-15 itu amat menarik minat kita,” katanya kepada Harian Metro.

“Insya-Allah jika dalam tempoh terdekat kami boleh ke luar negara, saya akan pergi sendiri untuk melihat dan memantau perkembangannya sebab Brighton B-16 menang dengan Arsenal 2-1, dan itu membuatkan saya teruja untuk pergi melihatnya.”

Qureshi merupakan pemain yang berasal dari England namun mempunyai pertalian darah dengan rakyat Malaysia menerusi ibunya yang berasal dari Manjoi, Perak.

Anak bongsu daripada lima beradik itu memulakan karier di akademi Brentford seawal enam tahun sebelum dia beraksi bersama akademi Chelsea dan Fulham.

Pemain itu mula menyertai Brighton pada usia 12 tahun sebelum mendatangani kontrak baharu selama empat tahun dan biasiswa termasuklah kontrak profesional selama dua tahun bersama skuad utama bergantung pada prestasinya ketika berusia 17 tahun.