Liga Super Malaysia Berita

MFL: 16 pasukan mula berlatih, Liga Malaysia mungkin boleh kembali pada Ogos

CEO MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan mengesahkan sebanyak lapan pasukan CIMB Liga Super dan lapan wakil Liga Premier sudah mendapat kelulusan untuk mengadakan sesi latihan bagi fasa 1.

Beliau berkata, pasukan-pasukan tersebut lulus permohonan selepas melengkapkan dokumen iaitu laporan keputusan ujian calitan ‘swab test’, venue latihan berdaftar dan sudah melalui proses nyahkuman atau sanitasi, surat pengesahan ujian saringan oleh doktor pasukan serta melantik pegawai penyelaras.

Ini bermakna, proses kepada fasa 2 akan menjadi lebih cerah jika kesemua pasukan patuh kepada SOP ketika menjalani sesi latihan dalam fasa 1 malah berpeluang untuk memulakan kempen Liga Malaysia lebih awal di mana perancangan sebelum ini menyambung kembali aksi domestik pada September ini.

“Latihan fasa 1 bakal menjadi penanda aras penting buat pasukan sebelum pengendali liga tempatan itu melanjutkan proses kepada fasa 2.

“Saya berharap kesemua pasukan yang telah memberikan kerjasama penuh ini dapat memastikan perubahan fasa sesi latihan ini kepada fasa 2 dapat dilaksanakan dengan lebih cepat,” katanya.

Pasukan-pasukan CIMB Liga Super yang sudah lulus permohonan adalah UiTM FC, Selangor, Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC (TFC), Perak, Melaka, Felda United FC dan Kedah.

Pasukan Liga Premier pula terdiri daripada Negeri Sembilan, Selangor 2, JDT II, TFC II, Pulau Pinang, Kuching FA, Perak II dan Kuala Lumpur.

Pada masa sama, Ghani mendedahkan MFL berhasrat untuk memulakan saingan liga lebih awal bagi memberi ruang kepada semua pihak, termasuk JDT yang bersaing dalam AFC Champions League dan skuad kebangsaan yang perlu mengharungi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan Piala AFF Suzuki hujung tahun ini.

“Kita berharap supaya semua pasukan bersedia lebih awal jika kita mendapat kelulusan untuk memulakan liga lebih awal iaitu pada Ogos nanti.

“Jika ini dapat dilaksanakan, ia bukan sahaja memberi kelebihan kepada semua pasukan di mana jadual perlawanan liga dan Piala Malaysia tidak akan padat malah, turut akan membantu persiapan skuad kebangsaan bagi mengharungi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Jadual Liga Malaysia menjadi kurang padat dan pasukan-pasukan memiliki masa rehat yang lebih baik selain daripada persiapan, ia akan menjadi lebih baik kepada pasukan kebangsaan bagi jadual Piala AFF Suzuki dan kelayakan Piala Dunia/Asia selain manfaat kepada wakil negara, JDT bagi jadual Champions League.”

Setakat ini, tiga wakil CIMB Liga Super, Pahang, PDRM dan Sabah dan empat pasukan Liga Premier iaitu Kelantan, Kelantan United FC, UKM FC dan Sarawak United FC masih belum menghantar permohonan untuk sesi latihan fasa 1.

PJ City FC pula telah lulus laporan keputusan ujian calitan, surat pengesahan ujian saringan oleh doktor pasukan dan nama pegawai penyelaras namun masih belum menyelesaikan isu venue latihan.

Mengikut rancangan asal, CIMB Liga Super, Liga Premier akan bersambung pada 1-2 September 2020 dan akan berakhir pada 26-27 September 2020 dengan saingan secara separuh liga sahaja manakala TM Piala Malaysia pula akan berlangsung pada 17-18 Oktober 2020 hingga 7 November.