Liga Super Malaysia Berita

Kalau boleh ke panggung wayang, penyokong juga boleh pergi stadium

Jika kerajaan sudah membenarkan orang ramai untuk ke tempat-tempat awam seperti panggung wayang, penyokong juga mempunyai hak untuk datang ke stadium memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan.

Jurulatih Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusoff berkata penyokong sepatutnya dibenarkan menonton perlawanan di stadium, dengan syarat mengehadkan jumlah kemasukan dan mematuhi penjarakan sosial.

“Saya setuju sekiranya penyokong dibenarkan hadir ke stadium tetapi biarlah dalam skala yang kecil dahulu dan secara berperingkat,” katanya kepada Arena Metro.

“Sebagai contoh kalau di tempat duduk Grandstand boleh ditempatkan 500 orang, mungkin untuk sekarang ini boleh benarkan hanya 100 orang dahulu untuk permulaan dan tetap utamakan penjarakan sosial.

“SOP ini sama juga macam di lain-lain tempat seperti ke masjid, kedai makan, pusat membeli belah dan sebagainya.

“Sudah tentu kehadiran penyokong cukup penting dalam menyemarakkan semangat pemain di atas padang.”

Dalam pada itu, Nidzam mengesahkan pasukan KL akan mula berlatih pada Isnin.

“Latihan akan dibuat di Stadium KLFA sepanjang tempoh PKPP ini.

“Kami bercadang ingin membawa masuk lima pemain daripada Piala Presiden bagi mencukupkan bilangan pemain seramai 30 orang yang akan dipecahkan kepada tiga kumpulan.”