Liga Premier Malaysia Berita

Dua syarikat tempatan berminat bantu Kelantan FA

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan FA (KAFA), Hussin Deraman mengesahkan bahawa pihaknya sudah bertemu dengan wakil dua syarikat tempatan yang berminat untuk mengambil alih Team Red Warriors Sdn Bhd.

Beliau berkata, perbincangan itu baru sahaja dibuat dan akan mengadakan lebih banyak pertemuan sebelum mencapai sebarang persetujuan.

“Kami tidak boleh mengharapkan kutipan tabung semata-mata untuk menggerakkan pasukan kerana ketika ini jumlah yang diperoleh masih lagi tidak boleh menampung keseluruhan hutang,” katanya kepada Arena Metro.

“Setakat ini, kami baru saja mengadakan sekali pertemuan bersama wakil syarikat terbabit dan berharap segalanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

“KAFA juga akan mengadakan pertemuan dengan beberapa pihak lain untuk mengurangkan bebanan hutang yang ditanggung.”

Ia satu perkembangan positif buat Kelantan FA yang kini perlu menyelesaikan hutang dan tunggakan gaji pemain sebanyak RM5 juta.