Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata tiada satu pasukan Liga Malaysia dibenarkan mula berlatih pada hari ini.
Katanya, tiada satu pasukan pun sudah memaklumkan mengenai status pematuhan SOP iaitu keputusan ujian calitan pemain dan pegawai, melantik pegawai penyelaras untuk memantau pematuhan SOP, menamakan pusat latihan dan venue latihan yang perlu didaftarkan di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
“Masa hari Jumaat lepas pun tiada pasukan kemuka perkara itu. Setakat ini pun kita tak terima, maka tiada pasukan yang boleh turun latihan,” katanya kepada BH Sukan.
“Ujian swab penting untuk pastikan semua individu yang terbabit dalam pasukan sihat. Kalau tidak dilakukan, ia akan menjadi kesalahan.”
Pada masa sama, Ghani berharap semua pasukan merancang sesi latihan dan melakukan proses dengan rapi tanpa perlu terburu-buru.
“Tidak semestinya 15 Jun itu, pasukan perlu tergesa-gesa nak turun latihan kerana mungkin ia akan menyebabkan ada SOP yang tertinggal atau tak dapat dipenuhi.
“Kebanyakan pasukan dalam proses sebab pada Jumaat lalu kita dapat info ada pasukan yang buat ujian swab dan sanitasi tempat latihan. Itu yang sebaiknya, buat persediaan rapi bagi menjamin kesihatan semua pihak.”