Liga Super Malaysia Berita

MFL: Latihan fasa 1 pasukan Liga Malaysia tidak libatkan sentuhan

CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan mengesahkan pihaknya sudah membentangkan SOP latihan fasa 1 pasukan Liga Malaysia kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ini selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kebenaran secara rasmi untuk mengadakan sesi latihan di padang.

Bagaimanapun, latihan fasa 1 yang dirangka MFL tidak melibatkan sentuhan antara satu sama lain.

“SOP yang dibentangkan ini adalah bagi sesi latihan Fasa 1 di mana antaranya tidak membabitkan sentuhan, latihan dalam skala kecil selain pemeriksaan suhu badan,” katanya kepada BH Sukan.

“Sekiranya kita mendapat kebenaran untuk mengadakan latihan Fasa 1, selepas itu barulah kita akan bentangkan cadangan untuk SOP latihan Fasa 2 pula.

“Tapi sama ada kita boleh mulakan liga lebih awal kalau latihan dapat dijalankan awal, itu juga masih tertakluk kepada arahan kerajaan.”

Menteri Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri akan mengumumkan garis panduan SOP mengenai sukan berpasukan dan sukan tertutup dengan lebih terperinci hari ini.