Pengurusan pasukan Selangor menyediakan pelan kewangan terperinci bagi memastikan kebajikan barisan pegawai dan pemain terus terbela meskipun kehilangan sumber pendapatan akibat penangguhan Liga Malaysia.
Pelan tersebut adalah berdasarkan bajet pasukan semasa awal musim dan apabila liga dibenarkan beraksi semula dalam perlawanan tanpa penyokong.
Selangor juga hanya mula melaksanakan penstrukturan semula skim gaji pada bulan Mei, selepas mendapat persetujuan daripada semua pihak.
“Kita akan lihat pada keperluan dan akan berbincang dengan FAS dari masa ke masa untuk memastikan kebajikan dan nasib para pemain dan pasukan terus terbela akibat bencana COVID-19,” kata Presiden FAS, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada Sukan Sinar.
FAS juga sedang mengkaji program kecergasan pasukan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Walaupun kita semua tidak sabar untuk turun ke padang untuk memulakan latihan, namun perhatian yang secukupnya perlu diberikan kepada garis panduan yang telah dikeluarkan pihak berkuasa.
“Saya berharap barisan kejurulatihan mengambil peluang ini untuk menganalisa corak permainan dan menyediakan program-program latihan untuk para pemain berlatih dan mengekalkan tahap profesional yang tertinggi ketika menjalankan latihan di mana jua mereka berada.”
Tengku Amir Shah juga berharap Selangor tidak patah semangat untuk memburu piala musim ini, walaupun berdepan dengan cabaran luar biasa tahun ini.
“Harapan saya agar pasukan Selangor memberi yang terbaik dalam persaingan Liga Super dan Piala Malaysia yang telah dipendekkan. Sasaran utama musim ini adalah bagi melayakkan diri ke peringkat Asia. Ini dapat dicapai jika mendapat tempat pertama atau kedua Liga Super atau menjuarai Piala Malaysia.
“Walaupun terpaksa berjauhan dan menonton dari rumah, saya yakin semua penyokong Selangor akan terus memberi sokongan penuh kepada para pemain bagi mengecapi sasaran pada tahun ini.”