Liga Super Malaysia Berita

Ismail Sabri: Pasukan Liga Malaysia berlatih masih tidak dibenarkan berlatih

Pasukan Liga Malaysia terpaksa menunggu lebih lama untuk kembali mengadakan latihan di padang apabila Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tetap melarang sebarang aktiviti latihan sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) benar-benar tamat.

Beliau berkata, kerajaan enggan mengambil risiko terhadap potensi penularan jangkitan wabak COVID-19 dalam bolasepak.

“Sukan lain seperti badminton tidak ada masalah kerana pesaingnya dua orang dalam gelanggang, tetapi dalam bolasepak, pemain akan bersentuhan dengan satu sama lain jadi kita tidak boleh memberikan kebenaran,” katanya dalam sidang media harian.

Bagaimanapun, Ismail mendedahkan kerajaan akan mengadakan perbincangan bersama FAM dan MFL tentang hala tuju bolasepak negara.

“FAM dan MFL boleh buat rayuan kepada MKN selepas PKPB diisytihar tamat. Kita belum tahu bila PKPB akan berakhir tetapi saya harap pasukan bola dapat bersabar.”

“Tetapi pasukan boleh menyediakan SOP sesi latihan masing-masing supaya pasukan boleh bersedia lebih awal jika PKPB tamat.”

Pada masa sama, Ismail menyeru kerajaan negeri untuk tidak memberikan kebenaran kepada pasukan bolasepak untuk mengadakan latihan.

“Jangan keluarkan kebenaran sendiri sebab setiap keputusan untuk liga bola sepak termasuk latihan dan sebagainya akan ditentukan oleh MKN di peringkat pusat.

“Ia salah daripada segi peraturan dan undang-undang di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).”