Malaysia Berita

Harimau Malaya mungkin adakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Liga Malaysia

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mendedahkan bahawa meskipun Tan Cheng Hoe memohon untuk mengadakan perlawanan persahabatan di luar negara, ia dilihat sukar untuk menjadi kenyataan.

Katanya, setiap negara mempunyai kawalan kemasukan yang ketat, apatah lagi kepada skuad bolasepak negara susulan wabak COVID-19.

“Kebanyakan negara mengadakan sekatan perjalanan yang menyukarkan kami untuk mengadakan sebarang perlawanan persahabatan,” katanya kepada BH Sukan.

“Setiap negara mempunyai peraturan tertentu dan mempunyai tahap pelaksanaan yang berbeza-beza bagi mengawal jangkitan Covid-19, dan sudah pastinya kami akan mengadakan perlawanan pemanas badan untuk skuad kebangsaan sebaik keadaan pulih.

“Kami merancang mengadakan beberapa perlawanan pemanas badan, tapi belum dipastikan lagi buat masa ini susulan wabak Covid-19 di seluruh dunia.”

Jika mengikut perancangan FAM dan AFC, skuad Harimau Malaya dijadualkan mengadakan perlawanan persahabatan dengan Bahrain sebelum bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 8 Oktober dan menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 13 Oktober.