Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berpandangan Malaysia masih belum bersedia untuk menganjurkan kejohanan bolasepak berprestij Piala Asia, walaupun mempunyai peluang untuk melakukannya.
Katanya, meskipun AFC melanjutkan tempoh sehingga 30 Jun untuk membida penganjuran Piala Asia pada edisi 2027, ia bukanlah masa yang baik untuk melakukannya.
“Kami perlukan penglibatan kerajaan dan dengan keadaan ketika ini, ia bukan masanya untuk memikirkan soal tersebut,” katanya kepada NST.
Stuart turut mendedahkan mesyuarat mengenai bidaan penganjuran Piala Asia 2034 secara bersama yang melibatkan Malaysia, Thailand, Indonesia, Singapura dan Vietnam sepatutnya diadakan bulan lepas namun ditangguhkan buat sementara waktu disebabkan wabak COVID-19.
Malaysia pernah menganjurkan Piala Asia pada edisi 2007 bersama-sama dengan Indonesia, Thailand dan Vietnam.
Kali terakhir Malaysia ke Piala Asia layak secara merit adalah pada 1976 dan 1980.