Liga Premier Malaysia Berita

Kelantan akui masih belum selesaikan tunggakan gaji pemain Piala Presiden

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Husin Deraman mengakui Kelantan masih belum menjelaskan sepenuhnya tunggakan gaji skuad Piala Presiden.

Bagaimanapun, Husin mendakwa pihaknya sudah menjelaskan kebanyakan tunggakan pada musim lepas dan akan mengemukakan laporan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Memang betul ada tunggakan membabitkan pemain skuad Piala Presiden tahun lalu dan ada di antara mereka sudah membuat laporan kepada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).

“Kita akan hantar laporan kepada FAM dan kami sedang mengumpul semua maklumat.”

Perkara ini timbul selepas FAM mula melaksanakan proses pemutihan hutang pasukan fasa kedua membabitkan tunggakan bayaran kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan tunggakan gaji skuad Piala Presiden dan Piala Belia.

Kelantan sebelum ini berjaya mengelak daripada dipotong tiga mata selepas menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain.