Liga Super Malaysia Berita

Presiden baharu Melaka United kecewa dengan pemotongan tiga mata

Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Datuk Sulaiman Md Ali akui agak kecewa apabila Melaka United dipotong tiga mata kerana gagal menyelesaikan tunggakan gaji pemain walaupun baru beberapa hari menerajui pasukan itu.

Katanya, ia dilihat sebagai tidak adil selepas para pemain bersungguh-sungguh untuk mendapatkan mata.

“Malah peminat serta penyokong tegar Melaka lebih kecewa. Semua ini adalah akibat kewangan, secara kebetulan pula saya sebagai Ketua Menteri ketika ini,” katanya kepada BH Sukan.

Melaka kini berada pada kedudukan ke-11 dan dalam zon penyingkiran.

Namun, Sulaiman berharap beliau dapat memperbaiki kelemahan pasukan.

“Insya-Allah berilah saya sedikit masa melihat semula dan meneliti setiap sudut persatuan terbabit. Apa yang perlu diperbaiki akan dibaiki.

“Walaupun kedudukan presiden ketika ini dari segi perlembagaannya adalah saya, tetapi ia terpulang kepada saya untuk menentukannya nanti.”