Liga Super Malaysia Berita

Terengganu masih belum bayar tunggakan gaji Wan Azraie

Selepas terdapat ura-ura bahawa Terengganu masih tidak menyelesaikan tunggakan gaji pemainnya, bekas penjaga golnya Wan Azraie Wan Teh akhirnya tampil mengesahkan perkara tersebut.

Wan Azraei yang kini beraksi dengan Sabah mendedahkan masih belum ada sebarang perbincangan bersama PBSNT mengenai bayaran tunggakan gaji yang dipersetujui dalam kontraknya pada musim lalu.

Katanya, dalam kontrak tersebut, setiap pemain akan menerima sejumlah bayaran yang akan dibayar dua kali.

Justeru, pemain berusia 33 tahun itu memberi peluang kepada PBSNT untuk melunaskan tunggakan tersebut.

Jika tiada sebarang penyelesaian dibuat, beliau akan melaporkan perkara itu kepada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).

“Saya berharap Terengganu dapat membayar gaji saya secepat mungkin,” kata Wan Azraie kepada Astro Arena.

Dalam pada itu, CEO PFAM, Izham Ismail, mengesahkan setakat ini hanya dua pemain daripada pasukan Terengganu yang melaporkan masalah tersebut.

“Dua pemain telah membuat laporan kepada PFAM. Mereka telah mula menerima pembayaran daripada PBSNT dan bakal diselesaikan pada penghujung bulan ini.”