Malaysia Berita

RASMI: TM penaja utama Liga Malaysia 2020-2022

Selepas hampir setahun, Telekom Malaysia Berhad menerusi anak syarikatnya, TM Multimedia kembali merancakkan bolasepak Malaysia apabila mengumumkan kerjasama dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bermula musim 2020.

Perjanjian penajaan selama tiga tahun itu meliputi hak penyiaran eksklusif, mudah alih dan siaran langsung perlawanan secara atas talian untuk Piala Sumbangsih, Liga Super, Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia menerusi Unifi TV.

Pada masa sama, TM juga menjadi penaja utama Piala Malaysia dan akan dikenali sebagai TM Piala Malaysia.

Kerjasama antara TM dan MFL dimeterai secara rasmi oleh CEO TMM, Moharmustaqeem Mohammed dan Pemangku CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan sambil disaksikan Naib Presiden, Jenama dan Komunikasi Kumpulan TM, Izlyn Ramli dan Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Kerjasama tersebut membolehkan peminat sukan bola sepak menonton Liga Malaysia secara eksklusif dan menyeluruh di Unifi TV dan aplikasi Unifi PlayTV yang boleh dimuat turun dari Apple AppStore dan Google Play Store.

Buat pertama kalinya, Unifi TV memperkenalkan pas bermusim untuk menyaksikan Liga Malaysia.

Unifi TV akan menyiarkan semua perlawanan secara langsung untuk Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia bermula dengan Piala Sumbangsih pada 28 Feb.

Semua perlawanan akan disiarkan di lima saluran sukan Unifi iaitu saluran 701 hingga saluran 705 setiap minggu.

Peminat yang tidak memiliki Unifi TV boleh berbuat demikian dengan melanggan pakej Ultimate Pack, manakala peminat yang sudah memiliki Unifi TV tetapi tidak mempunyai Ultimate Pack boleh melanggan mana-mana pas yang disediakan.

Liga Malaysia Unifi TV Viewing Passes Via Ultimate Pack:

Pas musim individu RM3
Pas bulanan RM15
Pas bermusim Liga Super/Piala FA RM100
Pas bermusim Piala Malaysia RM50
VVIP Team Malaysia RM120

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.unifi.com.my atau unifi.com.my/tv.

Pada masa sama, CEO MFL, Datuk Ghani memberi jaminan bahawa ada beberapa perlawanan yang akan turut disiarkan di televisyen awam seperti RTM dan TV3.