Liga Super Malaysia Berita

Thierry Chantha Bin sertai Perak kerana keluarga

Pemain antarabangsa Kemboja, Thierry Chantha Bin mendedahkan beliau membuat keputusan untuk membatalkan kontrak bersama kelab Thailand Sukothai supaya dapat menyertai Perak pada musim ini adalah disebabkan keluarganya.

Pemain tengah berusia 28 tahun itu cukup selesa apabila dapat beraksi di Malaysia, selepas dua musim menetap di Terengganu.

“Sejujurnya, keputusan ini agak mudah,” katanya kepada The Star.

“Saya bermain dengan Terengganu selama dua tahun, dan saya rasa saya perlu teruskan kerjaya di Malaysia.

“Saya gembira dan selesa berada di negara ini, malah anak saya juga dilahirkan di sini. Keluarga saya mahu tinggal lebih lama di Malaysia, dan itulah sebabnya saya memutuskan untuk pergi ke Ipoh.”

 

Thierry berkata, beliau memilih Perak kerana faktor kekuatannya dan sokongan peminat terhadap pasukan berkenaan.

“Saya teruja dapat menyertai salah satu pasukan terbaik dalam liga. Perak adalah negeri yang indah, dan rakyatnya cukup mesra. Saya tidak sabar untuk bermain di hadapan penyokong di Stadium Perak.”

“Saya mahu menang sekurang-kurangnya satu piala. Perak adalah pasukan yang sentiasa memenangi trofi atau layak ke final.”

Thierry juga gembira dapat bekerjasama dengan jurulatih Mehmet Durakovic dan berharap dapat mempelajari pelbagai perkara daripadanya.

Pemain itu juga terkejut dengan keharmonian yang ditunjukkan dalam kalangan pemain Perak, walaupun mereka semua perlu bersaing sengit bagi mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

“Ia seperti sebuah keluarga. Semua orang berjuang di atas padang dan membantu satu sama lain. Saya boleh melihatnya setiap hari. Saya sendiri rasa diterima di sini.”

Thierry yang dijangka mengisi posisi yang ditinggalkan oleh Brendan Gan, berharap dapat memberikan sumbangan yang akan dikenang peminat Perak sampai bila-bila.

“Saya seorang pemain yang sentiasa memberi yang terbaik.

“Setiap hari, setiap jam, saya bekerja keras untuk diri sendiri, peminat, dan keluarga saya. Hanya kerja keras boleh membawa saya pergi jauh. Saya mahu orang mengenang saya sebagai pemain yang bekerja keras.”