Liga Super Malaysia Berita

B Sathiananthan: JDT memang kuat, tapi belum tentu mereka juara tahun ini

Ketua jurulatih Selangor, B Sathianathan mengakui Johor Darul Ta’zim sememangnya sebuah pasukan yang digeruni selepas enam kali merangkul trofi Liga Super, namun itu tidak bermakna mereka perlu mengalah begitu sahaja pada musim ini.

Beliau menganggap Selangor juga mempunyai peluang untuk menjadi juara, tetapi segalanya terpulang kepada mereka untuk mempamerkan aksi terbaik dalam saingan liga.

“Memang betul (JDT pasukan kuat), tapi dalam bola sepak kita tak boleh cakap yang JDT akan merangkul (kejuaraan liga) sebab kita belum cabar dia, kita kena cabar, kita pun ada satu pasukan yang baik,” katanya kepada BH Sukan.

“Apa saja boleh berlaku dalam bola sepak, mungkin benda atau fakta lain boleh mempengaruhi pasukan berada di atas. Pasukan lain seperti kami, Melaka dan Perak ada harapan juga, kalau tak baik jangan main.”

Malah, Sathia mahu Selangor kekal positif supaya dapat memenangi setiap perlawanan dalam liga.

“Kita kena yakin yang kita boleh buat. Saya juga yakin penyokong Selangor akan membantu pasukan dan setiap perlawanan pemain akan bagi yang terbaik.”

Walaupun tewas 4-0 kepada juara liga Kemboja 2019, Preah Khan Reach Svay Rieng FC dalam perlawanan persahabatan, Sathia tidak terlalu bimbang dengan keputusan tersebut.

“Saya tak gunakan semua pemain utama, sebaliknya mencuba pemain termasuk pemain dari skuad Piala Presiden dan ada beberapa pemain yang baharu kembali beraksi bersama pasukan seperti Wan Zack.

“Perlawanan pra-musim tiada yang sempurna dan dalam bola sepak, kalau kita fikir nak menang sekarang, kita akan kalah esok.

“Ini saya tak risau, saya risau kalau kita kalah pada penghujung Februari nanti.”