Melaka United merupakan salah satu pasukan yang masih belum melunaskan tunggakan gaji pemain, namun ia tidak menghalang pasukan tersebut daripada bercita-cita tinggi, termasuklah menyasarkan empat kedudukan terbaik dalam Liga Super dan merancang untuk menubuhkan akademi bolasepak sendiri.
Presidennya, Damien Yeo Shen Li berkata ia merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang untuk menjadikan Melaka United sebagai salah satu jenama yang terkenal di seluruh dunia.
“Tidak salah untuk kami mempunyai impian yang mungkin mustahil untuk kami capai. Bagaimanapun, kita mesti sentiasa positif untuk membuat impian menjadi realiti,” katanya dalam satu kenyataan.
“Walaupun dengan sumber kewangan yang ada, kami percaya pasukan yang telah dibina mempunyai semangat melawan yang kuat pada musim yang akan datang. Tidak ada apa yang mustahil untuk dicapai, Melaka akan mampu bertemu dengan pasukan terbaik dunia pada masa hadapan.”
Damien berkata pengurusan pasukan juga bercadang untuk mendapatkan hak ke atas Stadium Hang Jebat, supaya ia boleh dimiliki sepenuhnya sebagai stadium tuan rumah Melaka United.
Melaka juga bersedia untuk melabur ke arah pembangunan akar umbi supaya dapat mengetengahkan lebih ramai pemain muda dari negeri itu.
“Atas sebab itu, adalah satu hasrat pengurusan MUSA di bawah kepimpinan saya untuk menubuhkan Akademi Bola Sepak Melaka United, dengan slogan #Mission04, yang akan membawa bakat muda ke tengah selain memberikan peluang kepada anak Melaka peluang bermain bola sepak.”
Pada masa sama, Damien sedar akan kekangan kewangan yang dihadapi pasukannya namun perkara ini boleh ditangani dengan baik jika Melaka dapat meningkatkan sumber pendapatannya menerusi sokongan peminat.
“Sebab itulah pengurusan baharu ini kini secara aktif mempromosikan pas bermusim dengan pelbagai kelebihan untuk penyokongnya, jualan secara dalam talian dan memperkenalkan sektor sukan pelancongan yang saya percaya akan memastikan sebuah pentadbiran yang lebih baik pada 2020.”
Mungkin dengan segala perancangan yang dibuat oleh pengurusan pasukan Melaka pada musim ini, mereka akan dapat menyelesaikan masalah kewangan sekali gus menangani masalah tunggakan gaji pemain.