Malaysia Kolum

Mengimbas kembali sedekad dalam bolasepak Malaysia

Peminat bolasepak tempatan telah melalui pelbagai kenangan pahit manis sepanjang 10 tahun.

Menang atau kalah, menjadi juara atau naib juara, semuanya diingati sampai bila-bila.

Dengan tahun 2020 sehari sahaja lagi, Football Tribe membawakan memori paling manis sepanjang satu dekad.

2010

Merupakan tahun terbaik apabila Malaysia memenangi Piala AFF Suzuki buat pertama kali dalam sejarah.

Walaupun dibelasah 5-1 oleh Indonesia dalam perlawanan pembukaan, Harimau Malaya berjaya mara ke final selepas menewaskan Vietnam.

Di final, Malaysia yang dibarisi sebahagian besar pemain muda mengejutkan musuh tradisi Indonesia 3-0 di Bukit Jalil dan 4-2 secara agregat.

Sememangnya satu kenangan paling manis dalam bolasepak Malaysia.

2011

Kelantan menjuarai Liga Super buat pertama kali dalam sejarah dibawah kendalian M. Karathu.

Namun Malaysia gagal layak ke pusingan seterusnya Piala Dunia 2014 selepas tewas mengejut kepada Singapura yang ketika itu dibarisi pemain naturalisasi.

Satu lagi memori manis apabila Terengganu menewaskan Kelantan dalam final Piala FA apabila Daudsu Jamaluddin tertampan bola ke gawang sendiri.

Tandukan cantik Hairuddin Omar juga diingati dalam sejarah apabila Negeri Sembilan menewaskan Terengganu dalam final Piala Malaysia.

2012

Tahun gemilang buat Kelantan apabila meraih treble hasil kemenangan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Ia juga tahun pahit buat skuad K. Rajagobal apabila tewas kepada Thailand dalam separuh akhir Piala AFF Suzuki.

Hujung tahun tersebut, Tunku Mahkota Johor memperkenalkan Johor Darul Takzim FC bagi menggantikan Johor FC.

2013

LionsXII mengejutkan ramai apabila menjadi juara Liga Super buat pertama kali dalam sejarah, menamatkan dominasi Kelantan.

JDT membuat kejutan apabila menandatangani legenda bolasepak Argentina, Pablo Aimar dan pemain Sepanyol, Daniel Guiza sekaligus mencetus fenomena baharu dalam bolasepak tempatan.

JDT berpeluang untuk meraih piala pertama namun gagal berbuat demikian apabila Norfarhan menjaringkan gol tunggal perlawanan bagi memastikan Kelantan meraih satu lagi piala.

Kelantan juga berpeluang mengulangi kejayaan Piala Malaysia namun tidak kesampaian apabila jaringan Matias Conti memberikan kemenangan buat Pahang selepas kali terakhir menang pada 1992.

2014

Dollah Salleh mengejutkan ramai pihak apabila berjaya membawa skuad kebangsaan mara sehingga ke final Piala AFF Suzuki, hanya terpaksa akur tewas kepada Thailand walaupun pasukannya dibarisi pemain veteran.

Ini juga tahun pertama JDT meraih gelaran Liga Super dibawah kendalian Bojan Hodak serta pemain import berkaliber Jorge Pereyra Diaz.

JDT bagaimanapun tewas kepada Pahang dalam perlawanan akhir Piala Malaysia yang dramatik, menyaksikan Norshahrul Idlan Talaha gagal menyempurnakan tendangannya dalam penentuan sepakan penalti.

Brendan Gan buat pertama kali bermain sebagai pemain tempatan di Kelantan dan layak mewakili negara.

2015

Tahun gemilang buat JDT apabila menjadi kelab pertama dari Malaysia yang memenangi Piala AFC.

Pemain Malaysia kacukan Australia, Matthew Davies menyertai Pahang dan beraksi sebagai pemain tempatan membolehkan beliau mewakili negara.

Selangor menamatkan kemarau piala apabila memenangi Piala Malaysia kali ke-33, paling banyak dalam sejarah.

Pahang bernasib paling malang, apabila terlepas kejuaraan Liga Super selepas dipotong mata akibat tidak membayar gaji pemain import.

Ini merupakan kali terakhir LionsXII beraksi di Liga Super apabila mereka dibubarkan secara rasmi.

Harimau Muda turut dibubarkan.

2016

Tahun paling buruk buat skuad kebangsaan apabila mencatatkan kekalahan besar 10-0 kepada UAE, memaksa Dollah Salleh meletakkan jawatan.

Malaysia juga tersingkir awal di peringkat awal dalam Piala AFF Suzuki.

JDT memenangi Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super.

Pahang hampir tersingkir ke Liga Perdana namun diselamatkan oleh kesilapan Kedah menurunkan pemain yang digantung perlawanan.

2017

FAM melantik Nelo Vingada sebagai jurulatih skuad kebangsaan baharu namun Harimau Malaya melalui waktu paling perit apabila sekadar mencatatkan enam kali kekalahan dan satu seri dalam kelayakan Piala Asia, menyebabkan beliau meletakkan jawatan.

Beliau diambil oleh penolong Tan Cheng Hoe, selepas meraih pelbagai kejayaan di Kedah.

JDT memenangi Liga Super kali keempat dan Piala Malaysia buat pertama kali dalam sejarah.

2018

Skuad kebangsaan sekali lagi gagal melayakkan diri ke Piala Asia edisi 2019.

Kegagalan tersebut diikuti dengan kedudukan ranking FIFA terburuk iaitu tangga 178 dunia.

Skuad bawah 23 tahun berjaya mara ke pusingan suku akhir selepas menewaskan Arab Saudi sebelum tewas kepada Korea Selatan dalam Kejohanan AFC B-23.

Skuad B-16 tahun gagal layak ke Piala Dunia B-17, dan Lim Teong Kim dilucut jawatan sebagai ketua jurulatih.

Skuad Sukan Asia mengejutkan ramai pihak apabila menewaskan Korea Selatan 2-1 hasil jaringan Safawi Rasid, kali pertama selepas lebih 30 tahun.

Perak memenangi final Piala Malaysia dengan cukup dramatik, apabila menewaskan Terengganu selepas ketinggalan dan unggul dalam penentuan sepakan penalti. Antara final terbaik sepanjang dekad ini.

Skuad Harimau Malaya menebus kekecewaan lalu apabila layak ke final Piala AFF Suzuki buat kali ketiga dalam tempoh 10 tahun selepas menewaskan Thailand di separuh akhir, walaupun akhirnya terpaksa akur tewas kepada Vietnam.

2019

Memori paling manis sudah tentunya apabila Malaysia berjaya menewaskan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Malah Harimau Malaya berjaya menumpaskan Indonesia dua kali, ketika kemenangan dramatik di Jakarta dan di Bukit Jalil.

Kemenangan tersebut mencerahkan peluang Malaysia untuk layak ke Piala Asia 2023.

JDT mencipta rekod apabila menjadi pasukan pertama Malaysia layak bertanding di peringkat kumpulan AFC Champions League selepas memenangi Liga Super.

Sabah kembali ke Liga Super selepas tujuh tahun dengan memenangi Liga Perdana.

Semoga bolasepak Malaysia mencipta lebih banyak kenangan manis pada 2020.