Ketika terlibat dengan kontroversi pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Selangor merancang untuk membentuk sebuah akademi bolasepak terbaik di negara ini.
Perkara itu didedahkan oleh Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Michael Feichtenbeiner dalam satu temuramahnya yang disiarkan di laman media sosial rasmi FAS.
Namun beliau akui ia akan memakan masa untuk membentuk akademi yang bagus, dan impaknya tidak akan berlaku dalam tempoh yang singkat.
“Struktur bola sepak baharu perlu dibentuk dalam pasukan Selangor. Ia menjadi cabaran dan matlamat buat kami.
“Sasaran saya untuk melihat corak baru bola sepak dalam pemain Selangor dan saya yakin dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi kita akan memiliki akademi bola sepak terbaik di Malaysia.”
Jurulatih dari Jerman itu juga berharap falsafah cara bermain di negaranya dapat diterapkan di Malaysia.
“Saya mahu pemain saya bermain dengan berani dan bertindak lebih aktif ketika mengawal bola dan tanpa bola.
“Saya juga akan pastikan pemain muda bermain dengan intensiti yang tinggi dan bergerak ke arah gol pihak lawan dengan lebih laju.
“Ia adalah corak permainan yang saya mahu terapkan. Ia sudah tentu tegas dan berat tetapi ia cukup bagus untuk pembangunan pemain.”
Pada masa sama, Feichtenbeiner mengharapkan falsafahnya juga dapat diserap oleh barisan kejurulatihan supaya dapat mewujudkan barisan pemain yang terbaik.
“Sekarang ia terpulang kepada saya untuk melatih semua jurulatih dan juga pemain supaya mereka dapat mengikuti struktur tersebut.
“Seperti yang saya sebutkan, ia memakan masa tetapi pada tahun 2022 kita akan dapat lihat hasilnya.”