Liverpool dipaksa berhempas pulas sebelum melangkah ke peringkat akhir Kejohanan Kelab Piala Dunia. Liverpool menang tipis 2-1 keatas Monterrey hasil jaringan Naby Keita pada separuh masa pertama dan Roberto Firmino pada lewat permainan.
GET IN!!
We're into the #ClubWC final 💪🔴
— Liverpool FC (@LFC) December 18, 2019
Gol awal Naby Keita pada minit ke-12 dipadam oleh Rogelio Funes Mori dua minit kemudian. Serangan bertali arus dilancarkan pasukan dari Mexico itu sedikit sebanyak mencabar ketangkasan penjaga gawang utama, Alisson Becker.
Percubaan rembatan kaki kanan oleh pemain sayap Monterrey, Dorlan Pabon hampir memberikan gol kedua tetapi sekali lagi diselamatkan oleh Alisson yang bertindak cemerlang untuk memastikan gawangnya tidak dibolosi.
Jurgen Klopp yang merehatkan pemain pertahanan utama, Virgil van Dijk dilihat mengambil risiko dengan menggantikan posisi tersebut dengan pemain tengah, Jordan Henderson. Selain itu, Klopp juga meletakkan gandingan Mohamed Salah, Xherdan Shaqiri, dan Divock Origi di bahagian serangan.
Mungkin disebabkan percaturan berisiko ini, benteng Liverpool dilihat sedikit goyah dah mudah ditembusi pihak lawan. Tambahan pula, bek kanan utama, Trent Alexander Arnold hanya masuk menggantikan James Milner pada minit ke-74 seterusnya memberikan impak kepada barisan serangan dengan satu hantaran silang rendah yang disempurnakan Roberto Firmino di hujung permainan.
We'll face @Flamengo in the #ClubWC final 👊🔴 pic.twitter.com/9yzIu4RwNw
— Liverpool FC (@LFC) December 18, 2019
Kemenangan ini bermakna Liverpool akan berdepan pasukan dari Brazil, Flamengo pada perlawanan akhir yang akan berlangsung pada Ahad ini. Flamengo mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan wakil kelab Arab Saudi, Al-Hilal 3-1.