Sukan SEA Berita

Kontrak Ong Kim Swee tidak disambung

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengesahkan bahawa ketua jurulatih skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee tidak akan ditawarkan kontrak baharu.

Menurut laporan Bernama, perkara itu disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

“Kontrak Ong Kim Swee sebagai ketua jurulatih skuad B-22/B-23 yang berakhir pada penghujung 2019 tidak akan disambung.”

Satu pertemuan bersama Kim Swee akan diadakan bagi mendapatkan penjelasan pengendali berusia 48 tahun itu bersama laporan penuh mengenai prestasi buruk skuad negara di temasya dwitahunan itu.

“Berhubung keputusan, kami betul-betul kecewa. Kami akan melakukan post-mortem apa yang berlaku untuk pastikan perkara sama tidak akan berulang lagi di masa hadapan. Diharapkan perkara itu dapat diperbaiki,” tambah Stuart.

Perkara itu diumumkan sehari selepas skuad B-22 negara tersingkir daripada acara bola sepak temasya Sukan SEA 2019 di Filipina.

Skuad negara mempamerkan aksi mengejutkan selepas sekadar seri 1-1 menentang Myanmar dan tewas 1-0 kepada Filipina sebelum membenam Timor Leste 4-0.

Namun Malaysia gagal menghasilkan aksi sewajarnya apabila tewas 3-1 kepada Kemboja, sekali gus tersingkir daripada temasya Sukan SEA.

Edisi kali ini merupakan prestasi terburuk Ong Kim Swee selepas lima kali mengendalikan skuad negara di Sukan SEA.

Di bawah kendaliannya, skuad negara merangkul pingat emas pada edisi 2011, memenangi pingat perak pada 2017, tempat keempat pada edisi 2013 dan tempat ketiga dalam peringkat kumpulan pada edisi 2015.

Di sebalik kegagalan di Sukan SEA, Ong Kim Swee pernah membawa skuad negara sehingga ke suku akhir Kejohanan AFC 2018.