Legenda bolasepak dunia, David Trezeguet mengakui bahawa Malaysia menjadi negara yang amat digemarinya sepanjang kariernya sebagai pemain.
Katanya, segala-galanya bermula apabila beliau menjadi sebahagian daripada pasukan Perancis yang beraksi di Piala Dunia Belia pada 1997 yang berlangsung di Kuala Lumpur.
“Saya sudah beberapa kali datang ke Malaysia, dan setiap kali datang ia mengingatkan kepada kenangan ketika bermain kejohanan Piala Dunia Belia pada 1997.
“Selepas bersara, tahun ini saya berkesempatan untuk datang sekali lagi ke Malaysia dan bertemu dengan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, saya anggap ini jodoh dan teruja dapat berada di Malaysia,” katanya kepada Football Tribe.
Trezeguet menjaringkan lima gol dalam Piala Dunia Belia 1997, sebelum menyertai skuad kebangsaan Perancis setahun kemudian dan menjulang Piala Dunia buat pertama kali dalam sejarah.
Dua tahun kemudian, Trezeguet meneruskan kegemilangannya bersama Perancis apabila menjaringkan gol emas di perlawanan akhir sekali gus memenangi Kejohanan Euro pada 2002.
Trezeguet sebenarnya mula dikenali ramai apabila beliau berhjirah ke kelab Perancis, Monaco pada 1996 dan menjadi pasangan penyerang yang digeruni bersama seorang lagi legenda bolasepak, Thierry Henry.
Namun, idolanya bukanlah daripada mana-mana pemain Perancis, sebaliknya individu tersebut merupakan Diego Maradona.
“Saya pernah beraksi dengan pelbagai jenis pemain, tetapi pemain yang paling digemari adalah Diego Maradona,” kata Trezeguet.
Selepas berhijrah ke Juventus, beliau sempat beraksi dengan seorang lagi pemain kegemarannya iaitu Gabriel Batistuta yang ketika itu beraksi di AS Roma.
“Sepanjang karier, saya gembira dapat bermain dalam satu padang dengannya, menentang pasukannya,” katanya.
Trezeguet yang berpindah ke Juventus pada 2000, kekal sehingga 10 tahun di Turin.
“Juventus merupakan kenangan terindah buat saya. Di kelab inilah saya pertama kali menang Serie A dan memenangi tiga anugerah iaitu Pemain Terbaik, Pemain Import Terbaik dan Penjaring Terbanyak pada musim 2001/2002,” katanya.
Namun, Trezeguet tidak pernah memenangi Liga Juara-juara Eropah sepanjang beraksi dengan Juventus dan berharap trofi itu akan kembali ke Turin satu hari nanti.
“Juventus cukup kuat musim ini, tidak kalah di Serie A dan Liga Juara-juara Eropah. Kekuatan ini dibina sejak Massimiliano Allegri dan kini Maurizio Sarri mengendalikan Juventus dengan caranya tersendiri dan memenangi hampir setiap perlawanan.
“Barisan pemain cukup gembira dan bersemangat ketika ini tetapi mereka akan menghadapi cabaran juga nanti, cuma apabila waktu itu tiba, mereka perlu bersatu sebagai sebuah pasukan dan membuktikan Juventus sebuah pasukan yang sentiasa memperoleh kemenangan,” katanya.
Trezeguet percaya, kekuatan Juventus didorong oleh beberapa faktor dan antaranya disebabkan kehadiran Cristiano Ronaldo, Paulo Dybala dan Gonzalo Higuain.
“Cristiano, Dybala dan Higuain beraksi dengan cemerlang apabila diturunkan bersama-sama, sekaligus membantu Juventus memenangi perlawanan.
“Saya tidak berkesempatan untuk bermain bersama mereka tetapi jika berpeluang, saya mahu satu pasukan dengan Cristiano dan Dybala,” katanya.
Juventus kini menduduki takhta Serie A dengan 35 mata, beza satu mata dengan Inter yang memperoleh 34 mata.
Juara bertahan Serie A itu juga mengungguli Liga Juara-juara Eropah dengan mengumpul 13 mata dalam Kumpulan D, sekali gus layak ke pusingan 16 pasukan terakhir.