Skuad Harimau Malaya bakal melayan kunjungan pasukan pelawat, Indonesia bagi saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada malam ini.
Stadium Nasional Bukit Jalil akan menjadi saksi kepada pertembungan dua negara jiran yang boleh dianggap sebagai musuh tradisi dalam sukan bola sepak. Situasi semasa dalam kedua-dua kem pasukan sangat ketara perbezaannya.
Tuan rumah, Malaysia sedang berada di prestasi terbaik dengan mencatat dua kemenangan sebelum ini ketika membenam Thailand dan Tajikistan (perlawanan antarabangsa Tier 1). Dua pasukan tersebut berada di ranking lebih baik berbanding Malaysia. Namun, kesungguhan yang dipamerkan anak buah Tan Cheng Hoe ini berjaya memberikan hasil kepada skuad negara.
MATCHDAY!
You will not find a bigger game of football, anywhere in the world, this week. Derbi Nusantara is in town.
GET HYPED! This is Malaysia vs Indonesia 🔥🔥🔥 pic.twitter.com/oG7vvhtLLi
— Keesh (@keeshmatstats) November 19, 2019
Tambahan pula, prestasi beberapa pemain yang sedang memuncak seperti Safawi Rasid, Syafiq Ahmad, dan Brendan Gan ternyata memberi impak positif kepada pasukan. Kecemerlangan pemain-pemain ini bukan sahaja ditunjukkan ketika bersama skuad negara, malah juga bersama pasukan dalam saingan Liga Malaysia.
Lain pula ceritanya buat pasukan Indonesia yang sedang melalui saat sukar ketika ini. Kegagalan mengutip sebarang mata daripada empat perlawanan dalam kumpulan G jelas memberi isyarat bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam kem Sang Garuda.
Namun begitu, pengendali sementara Indonesia, Yeyen Tumena tetap optimis dengan anak buahnya untuk menghadapi pasukan Malaysia pada malam ini. Kehadiran beberapa muka baru ke dalam skuad utama juga mampu memberi sinar sekaligus menggagalkan misi tiga mata yang diburu skuad Harimau Malaya.
Berdasarkan rekod pertemuan sebelum ini, Malaysia masih belum pernah tewas di gelanggang sendiri ketika bertemu Indonesia sejak 2001. Ini membuktikan betapa kebalnya skuad kebangsaan di halaman sendiri. Pada pertemuan September yang lalu, Malaysia bangkit daripada ketinggalan untuk membenam Indonesia 3-2 di Stadium Bung Karno, Jakarta.
Secara logiknya, Indonesia pasti juga memasang impian untuk misi membalas dendam keatas pasukan Malaysia. Pasukan Indonesia turut tiba lebih awal ke Malaysia dalam menyiapkan diri sebelum ke medan tempur. Ini membuktikan bahawa kesungguhan yang ditunjukkan mereka ini sememangnya mempunyai matlamat yang jelas.
Pendek kata, apa jua yang terjadi, Malaysia perlu memanfaatkan peluang beraksi di tempat sendiri malam ini dengan mengutip tiga mata penuh bagi mencerahkan peluang mereka layak ke Piala Asia 2023.