Bekas penyerang Arsenal dan Perancis, Thierry Henry telah dilantik sebagai ketua jurulatih yang baru buat pasukan MLS, Montreal Impact. Henry menandatangani kontrak selama dua tahun dengan pilihan untuk lanjutan selama 12 bulan lapor Sky Sports.
Legenda Arsenal ini pernah beraksi di MLS bersama pasukan New York Red Bulls selama empat musim dan berjaya menyumbang 51 gol daripada 122 penampilan.
Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai pembantu jurulatih kepada Roberto Martinez bersama Belgium pada tahun 2016 sehingga 2018. Bekas pemain yang berusia 42 tahun itu turut membantu Belgium yang mendapat tempat ketiga dalam Kejohanan Piala Dunia 2018.
Henry memulakan karier dalam bidang kejurulatihan dengan mengemudi kelab Ligue 1 Perancis, AS Monaco pada 18 Oktober 2018 dengan menandatangani kontrak selama tiga tahun. Namun begitu, prestasi pasukan bimbingannya yang merisaukan telah memusnahkan perjalanan awal beliau sebagai ketua jurulatih bola sepak.
Berikutan kegagalan yang dipamerkan, Henry telah dipecat pada Januari tahun ini selepas hanya mencatat empat kemenangan, lima keputusan seri, dan 11 kekalahan dalam 20 perlawanan.
Setelah lebih kurang 10 bulan tanpa jawatan, akhirnya Henry menemui destinasi baru. ‘Ia merupakan penghormatan untuk berkhidmat buat Montreal Impact dan kembali ke MLS. Ini adalah liga yang saya pernah beraksi dan memiliki kenangan manis’, katanya lagi.
Dalam pada itu, Presiden dan CEO Montreal, Kevin Gilmore berasa gembira dengan kehadiran Henry dan berharap sentuhan bekas bintang bola sepak dunia ini mampu membawa Montreal mencapai matlamat yang ingin dikecapi.