Malaysia Berita

Aidil: Tiada pasukan yang tidak boleh dikalahkan dalam bola sepak

Kali terakhir Malaysia bertemu Thailand adalah pada aksi separuh akhir Kejuaraan Piala AFF 2018 yang menyaksikan kedua-dua pasukan seri secara agregat 2-2 dan skuad Harimau Malaya mara ke perlawanan akhir berdasarkan peraturan gol di tempat lawan.

Thailand mendapat suntikan jurulatih baru dari Jepun, Akira Nishino pada awal Julai yang lalu. Untuk makluman, Akira Nishino merupakan bekas pengendali pasukan kebangsaan Jepun dan beberapa kelab bola sepak di Jepun seperti Gamba Osaka, Vissel Kobe, dan Nagoya Grampus.

Pemain pertahanan berpengalaman, Aidil Zafuan turut mengakui ramai muka baru yang bakal tampil pada malam esok. Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) ini juga percaya pemain yang dibawa kali ini pasti lebih berkualiti daripada pemain tahun lepas (ketika perlawanan separuh akhir Kejuaraan Piala AFF 2018).

Walaubagaimanapun, Aidil menegaskan bahawa pasukan Malaysia akan melawan dengan sehabis baik walau siapa pun pemain lawan yang beraksi. Thailand mempunyai pemain penyerang yang berbahaya seperti Teerasil Dangda tetapi sebagai satu pasukan, kita perlu mengawasi kesemua pemain.

‘Tiada pasukan yang tidak boleh dikalahkan dalam bola sepak. Liverpool pun boleh kalah. Jadi, tak mustahil untuk kita (Malaysia) mengalahkan mana-mana pasukan dalam suka bola sepak’, ujarnya ketika sesi sidang media yang berlangsung tengahari tadi.