Malaysia Berita

Akira tidak puas hati dengan pemberita tempatan

Thailand memburu kemenangan ketiga berturut-turut selepas berjaya mengharungi dua perlawanan sebelum ini dengan kemenangan. Skuad Gajah Perang telah menewaskan Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta seri ketika bertemu Vietnam pada perlawanan pembukaan kumpulan G.

Ketua Jurulatih Thailand, Akira Nishino mengingatkan anak buahnya untuk memberikan yang terbaik jika mahu layak ke pusingan seterusnya. Para pemain juga perlu fokus pada setiap perlawanan dan memperbaiki kelemahan yang ada.

Beliau tidak memandang kepada keputusan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai satu perbandingan atau indikator prestasi pasukannya dengan Malaysia. Walaupun Thailand menang dan Malaysia kalah ketika bertemua Emiriah Arab Bersatu (UAE), penekanan tetap diberikan untuk aksi malam esok.

Terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa Akira Nishino telah melaksanakan peraturan ketat (disiplin Jepun) ke dalam pasukan Thailand selepas dilantik pada awal Julai yang lalu. ‘Secara jelas terdapat ramai pemain dalam pasukan bola sepak Thailand. Saya mengakuinya tetapi ianya tidak terlalu ketat dan masih wujud fleksibiliti buat para pemain’, responnya ketika menjawab mengenai isu tersebut.

Pengendali yang berasal dari Jepun itu turut menegaskan bukan mudah untuk menerapkan falsafah bola sepak ke dalam sesebuah pasukan. Ianya ternyata mengambil masa dan perlu diperbaiki hari demi hari.

Selain itu, Akira sedikit tidak puas hati dengan cara pemberita tempatan yang cuba membuat liputan keatas pasukannya ketika di padang latihan semalam. Namun begitu, beliau tidak menyalahkan mana-mana pihak cuma inginkan keadilan dan berharap agar isu keselamatan dan protokol dapat diperbaiki.

Sementara itu, ketua pasukan Thailand, Siwarak Tedsungnoen pula berasa gembira kerana berpeluang beraksi di Bukit Jalil dan yakin kesemua pemain bermotivasi dalam menghadapi cabaran Malaysia pada malam esok.