Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora begitu gembira selepas menyaksikan anak buahnya menumbangkan Kedah untuk muncul juara Piala Malaysia 2019.
Mora mengungkapkan ucapan terima kasih kepada pemilik pasukan, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim Ismail kerana memberi peluang kepadanya dan anak buah untuk menerajui JDT.
JDT telah merangkul kejuaraan Liga Super 2019 dan ini merupakan piala kedua buat JDT. Beliau turut memuji persembahan anak buahnya yang dilihat bermain mengikut strategi yang telah disusun.
‘Ia bukan perlawanan mudah untuk menentang Kedah. Mereka mempunyai sejarah dan rekod yang baik. Namun, para pemain berjaya bermain mengikut strategi yang telah disusun. Saya ingin permainan ini tamat dalam masa 95 minit’, katanya lagi.
Tambahnya lagi, ketiadaan beberapa tonggak utama seperti Renan Alves, Rizal Ghazali, Fernando Rodriguez, dan Azamuddin Akil sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada JDT dalam menguasai permainan dan memperoleh gol.
‘Kedah turun dengan pasukan yang kurang lengkap. Ia bukan mudah. Ia mungkin nampak mudah kerana tiga jaringan tanpa balas. Tetapi pemain bermain mengikut arahan’, jawabnya ketika ditanya adakah JDT menang mudah pada malam tersebut.
Pada perlawanan itu juga, beberapa pemain kebangsaan seperti Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad membuktikan kualiti yang tersendiri dengan masing-masing menghadiahkan satu gol buat JDT.