Penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal digugurkan daripada kem latihan pusat kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe. Kekosongan itu akan diisi penjaga gawang Johor Darul Ta’zim (JDT), Haziq Nadzli.
Berdasarkan pengumuman rasmi di laman sosial Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), ianya telah menyatakan Haziq akan menggantikan Ifwat bagi menghadapi tiga perlawanan bersama skuad Harimau Malaya.
Sebelum ini, Ifwat telah disenaraikan antara 26 pemain yang akan menyertai kem latihan pusat. Namun, namanya digugurkan hari ini atas sebab yang tidak dinyatakan.
Haziq Nadzli merupakan penjaga gol pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan pernah beraksi bersama skuad Sukan SEA negara pada tahun 2017 yang menyaksikan skuad Harimau Muda memperoleh pingat Perak setelah tewas kepada Thailand 1-0.
Ini merupakan peluang buat pemain berusia 21 tahun ini untuk membuktikan kemampuannya kepada Tan Cheng Hoe. Dalam masa yang sama, dia juga perlu bersaing secara sihat bersama dua lagi penjaga gol, Farizal Marlias dan Khairul Azhan bagi merebut posisi utama dalam skuad negara.
Malaysia akan menentang pasukan di ranking 116 dunia, Tajikistan bagi persiapan menjelang perlawanan penting Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 menentang Thailand dan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil bulan ini.