Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tuan Md Dali Wahid telah mengumumkan barisan pengadil yang akan bertugas pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 diantara Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Mohd Nazmi Nasaruddin akan menggalas tugas sebagai pengadil utama malam ini dan dibantu oleh Zairul Khalil Tan, Junaidi Abdul Samad, Razlan Jafri Ali, Zulkarnain Zakaria, Muhd Farhan Abdul Aziz, dan Azman Sulung.
Menurut Md Dali Wahid, pemilihan pengadil ini adalah berdasarkan prestasi semasa dan selepas tapisan yang ketat. Kriteria utama yang ditapis ialah prestasi dalam Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.
Selain itu, bilangan kontroversi juga menjadi kriteria utama dalam pemilihan pengadil serta tidak terikat dengan mana-mana negeri yang terlibat pada perlawanan akhir iaitu Kedah atau Johor.
Beliau turut berharap para penonton dan penyokong untuk menghargai kualiti pengadil tempatan yang bertaraf dunia. Pengadil Malaysia sebenarnya banyak mencapai kejayaan membanggakan tetapi masih dipandang rendah di tanah air sendiri.
Sebelum ini, khidmat pengadil dari Jepun telah digunakan pada perlawanan akhir Piala FA diantara Perak dan Kedah pada Julai lepas.
‘Sebenarnya ada pengadil yang bertugas di luar negara. Jadi, pemilihan pengadil ini (Nazmi) adalah berdasarkan prestasi serta keberadaannya di dalam negara untuk memudahkan urusan’, katanya lagi.
Ditanya bagaimana untuk mengelakkan gol kontroversi ketika Selangor menentang Perak daripada berulang, beliau berkata penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) masih belum dilaksana disini. Oleh itu, akan ada seorang pengadil yang akan bertugas di belakang gol setiap pasukan bagi mengelakkan perkara sama berulang.