Barcelona kembali merampas carta liga apabila mudah menjinakkan Real Valladolid 5-1 awal pagi tadi.
Kemenangan tersebut membawa skuad Ernesto Valverde ke puncak liga dengan kutipan 22 mata daripada 10 perlawanan.
Pemain terbaik dunia, Lionel Messi membuktikan kualitinya dengan menyumbang dua gol dan mencipta dua bantuan gol buat pasukan. Messi menjaringkan gol sepakan percuma peribadi yang ke-50 pada perlawanan tersebut.
Pemain antarabangsa Argentina itu terus mempamerkan persembahan cemerlang selepas pulih daripada kecederaan. Antoine Griezmann masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua untuk melengkapkan gandingan trio Messi, Suarez, Griezmann (MSG).
Gandingan mantap trio ini telah membantu Barcelona untuk memperoleh 12 gol dalam tiga perlawanan liga yang diharungi. Buat masa ini, Luis Suarez telah menghasilkan enam jaringan manakala Messi dan Griezmann masing-masing berkongsi empat jaringan. Barcelona merupakan pasukan yang telah menjaringkan jumlah gol terbanyak setakat ini dengan jumlah 28 gol.
Impak trio ini juga bakal memberi saingan kepada trio pasukan eropah lain seperti Liverpool (Mohamed Salah, Roberto Firmino, Sadio Mane) dan Paris Saint Germain (Mauro Icardi, Kylian Mbappe, Angel Di Maria).