Dahulunya berkhidmat sebagai Doktor Psikiatri di Hospital Selatan England dan bermain bola sepak secara separuh masa bersama Eastbourne Borough, kini Darren Lok merupakan salah seorang pemain pasukan Johor Darul Ta’zim II.
Berdasarkan laporan BBC, kisahnya bermula apabila Darren dirisik oleh seorang ejen yang bernama Scott Ollerenshaw. Scott yang mengenali Darren Lok melalui satu wawancara majalah terus menghubunginya melalui internet. Scott jugalah individu yang bertanggungjawab memperkenalkan bola sepak Malaysia kepada Darren.
Peluang dan ruang yang dimiliki oleh Darren untuk meluaskan bakatnya begitu cerah. Oleh sebab itu, Scott menyarankan agar dia (Darren) memohon pasport Malaysia melalui bapanya dan menetap disana untuk melayakkan dirinya bermain bersama pasukan kebangsaan Malaysia.
Pemain berusia 28 tahun itu menandatangani kontrak bersama pasukan Johor Darul Ta’zim II selepas berjaya mengharungi sesi percubaan yang dijalankan. JDT merupakan kelab bola sepak terbesar di Malaysia dan mempunyai fasiliti bertaraf dunia. Pasukan ini dimiliki oleh Tunku Ismail Idris.
Darren Lok tidak perlu menunggu lama untuk panggilan mewakili skuad kebangsaan apabila diberi peluang untuk beraksi menentang Singapura walaupun baru sahaja membuat dua penampilan bersama pasukan JDT II.
Pengalaman beraksi dihadapan lebih kurang 20,000 orang sangat mendebarkan kerana sebelum ini dia hanya beraksi dihadapan 500 orang penonton sahaja di England.
JDT juga merupakan pasukan pertama yang memenangi enam gelaran liga secara berturut-turut dan muncul juga sebagai pasukan Malaysia pertama yang akan dimasukkan dalam permainan konsol, Pro Evolution Soccer diatas penglibatan JDT dalam Liga Juara-Juara Asia.