Malaysia Berita

Harimau Malaya hilang taring di Hanoi

Skuad Harimau Malaya tewas 1-0 dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 malam tadi. Kekalahan ini seolah-olah mengulangi kegagalan anak buah Tan Cheng Hoe yang tumpas dengan jaringan yang sama kepada Vietnam pada perlawanan akhir Piala AFF tahun lepas.

Secara asasnya, tidak ada perubahan yang besar dalam kesebelasan utama melainkan penampilan Abdul Halim Saari yang menggantikan tempat Nor Azam Azih yang mengalami kecederaan serta kehadiran Aidil Zafuan di barisan pertahanan. 

Corak permainan laju pasukan tuan rumah sememangnya memberi ancaman kepada pasukan Malaysia. Pemain-pemain Vietnam bijak dalam membuat hantaran tepat dan memanfaatkan ruang di sebelah sayap. Bek kanan Malaysia, Matthew Davies seringkali ditembusi dalam perlawanan semalam. Gol yang dhasilkan oleh Nguyen Quang Hai juga berpunca daripada posisi Davies. 

Tidak dapat dinafikan akan kualiti yang dimiliki Nguyen Quang Hai yang bukan sahaja bijak menggelecek melepasi pertahanan negara tetapi juga memiliki hantaran yang tepat. Aksinya seakan-akan Lionel Messi di atas padang membuatkan para pemain Malaysia lebih berhati-hati.

Barisan serangan negara gagal menghasilkan impak yang memuaskan semalam. Syafiq Ahmad dikunci rapi oleh pertahanan Vietnam yang diketuai Doan Van Hau yang merupakan pemain pasukan kelab Belanda, SC Heerenveen. Kekebalan pemain ini ternyata meranapkan impian dan harapan Syafiq untuk menambah koleksi gol jaringan bersama pasukan negara.

Ternyata, kehilangan Nor Azam Azih di bahagian tengah begitu mengganggu corak serangan pasukan Malaysia. Tidak mengatakan Halim Saari gagal mempamerkan persembahan yang baik tetapi pemain ini tidak mempunyai keupayaan dalam membuat hantaran jauh seperti mana yang dilakukan Azam pada dua perlawanan sebelum ini.

Kekalahan ini menyaksikan Malaysia menghuni tangga keempat pasukan dengan hanya memungut tiga mata. Misi wajib menang di Bukit Jalil pada bulan depan akan menghidupkan kembali peluang skuad Harimau Malaya. Malaysia akan melayan kunjungan Thailand pada 14 November dan Indonesia pada 19 November depan.