Kolum Eropah

Mengapa van Dijk memilih nama ‘Virgil’ di belakang jersi

Bintang pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk merupakan pertahanan terbaik di dunia buat masa ini. Kehadiran pemain bertubuh sasa ini di barisan pertahanan The Reds jelas membantu pasukan. 

(Photo by David Price/Arsenal FC via Getty Images)

Pemain antarabangsa Belanda ini memulakan karier bersama Liverpool dengan langkah kanan apabila menjaringkan gol kemenangan ketika aksi menentang Everton pada penampilan pertama di Anfield. Ketangkasan pemain ini dalam menangkis serangan dan bijak membaca permainan menjadi kunci kejayaan buat pasukan.

Pada musim lepas, van Dijk berjaya membantu Liverpool untuk menjuarai Liga Juara-Juara Eropah setelah menumpaskan Tottenham Hotspur 2-0 pada perlawanan akhir. Kejayaan demi kejayaan digondol pemain ini apabila dinobatkan sebagai pemain terbaik eropah bagi musim lepas menewaskan pencabar terdekat Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

(Photo by Harold Cunningham – UEFA/UEFA via Getty Images)

Disebalik kejayaan tersebut, ada satu kisah yang menarik perhatian. Jika diteliti, van Dijk tidak meletakkan nama keluarga di belakang jersi tetapi menggunakan nama pertamanya iaitu ‘Virgil’. Terdapat satu kisah yang menyebabkan van Dijk bertindak sedemikian.

Virgil van Dijk menghadapi nasib yang sama seperti Memphis Depay yang telah diabaikan oleh ayahnya sendiri ketika waktu kecil. Bapanya meninggalkan ibu van Dijk bersama tiga orang anak termasuk dia sendiri. Perkara ini dilihat sebagai satu tindakan yang sukar untuk dimaafkan.

Sejak daripada itu, van Dijk tidak mahu dikaitkan lagi dengan bapanya termasuk pada nama. Kisah tragik ini menjadi inspirasi buat van Dijk mencari kehidupan yang lebih baik. Bapa saudaranya yang dikenali sebagai Steven Fo Sieeuw turut menyatakan bahawa bapa Virgil van Dijk, Ron van Dijk tidak ambil peduli dengan apa yang terjadi dan melangsungkan perkahwinan bersama pasangan baru.

Tambahnya lagi, ‘Virgil van Dijk mungkin dapat memaafkan bapanya namun saya yakin ibunya adalah idola teragung dalam hidupnya’. 

Kisah inspirasi ini diolah daripada sedutan video Oh My Goal di laman Youtube.