Beberapa hari lepas, pemain Sabah berusia 25 tahun, Azizan Nordin telah dipanggil untuk menyertai latihan skuad Harimau Malaya. Ini berikutan keadaan pemain tengah utama, Nor Azam Abdul Azih yang masih bergelut dengan kecederaan buku lali.
Azizan merupakan pemain tengah utama Sabah. Peranan di bahagian tengah yang dipamerkan pemain ini mirip dengan peranan yang dimainkan Nor Azam. Ini bukanlah kali pertama Azizan dipanggil untuk menyarung jersi kebangsaan.
Pernah juga digelar sebagai jelmaan Shakir Shaari, pemain yang menampilkan aksi meyakinkan ketika penampilan pertama menentang Kemboja pada tahun lepas mempunyai kebolehan untuk memenangi bola di bahagian tengah. Persembahan bertenaga sepanjang berkhidmat bersama Sabah juga membuktikan betapa berkualitinya pemain ini.
Pastinya Azizan ingin memanfaatkan peluang yang ada untuk membuktikan kebolehan sebenar dalam membantu skuad negara untuk misi mengutip mata pada perlawanan seterusnya. Vietnam bukanlah lawan yang mudah kerana kualiti mereka agak baik sejak kebelakangan ini. Berada di ranking ke-115 dunia juga membuktikan betapa jauh ke depan pasukan Vietnam.
Namun yang demikian, khidmat Nor Azam masih ditagih Tan Cheng Hoe berikutan prestasi cemerlang yang ditunjukkan pemain itu dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Dalam perkembangan lain, skuad Harimau Malaya sedang giat dalam persiapan bagi menghadapi perlawanan persahabatan menentang Sri Lanka pada sabtu ini sebelum berlepas ke Vietnam bagi perlawanan ketiga kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 10 Oktober depan.