Malaysia

Previu: PKNP vs Kedah

Dua pasukan dari utara tanah air akan berentap pada pusingan suku akhir pertama malam ini. Pertembungan PKNKP dan Kedah semestinya akan menarik perhatian.

PKNP yang merupakan pasukan baru dalam kancah liga bola sepak di Malaysia dilihat semakin mengorak langkah dalam saingan Piala Malaysia 2019. Walaupun menghuni tangga tercorot dalam Liga Super, skuad Abu Bakar Fadzim mampu memberikan kejutan kepada pasukan gergasi yang lain.

PKNP mempunyai kekuatan luar biasa jika beraksi di hadapan penonton sendiri. Berdasarkan rekod semasa di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, PKNP masih mengekalkan rekod bersih tanpa kalah. Pasukan baru ini yang diletakkan dalam Kumpulan B bersama-sama Johor Darul Ta’zim (JDT), Petaling Jaya City, dan UiTM telah mencatat tiga kemenangan sebelum layak ke peringkat suku akhir. Kali terakhir mereka tewas di tempat sendiri ialah ketika perlawanan Liga Super menentang Perak pada April lepas.

Tambahan pula, prestasi semasa penyerang utama dari Brazil, Giancarlo yang giat menyumbang gol dalam membantu PKNP mara ke hadapan. Status pemain pinjaman yang dipegang Giancarlo tidak menghalang beliau untuk terus memberikan aksi terbaik. Gandingan Giancarlo dan Yashir Pinto pastinya akan memberi ancaman hebat kepada barisan pertahanan Kedah. 

Kedah pula yang mempamerkan aksi ‘Yo-yo’ perlu terus kekal konsisten dalam mencapai kemenangan. Persembahan naik turun skuad Helang Merah ini sedikit membimbangkan pengendali pasukan, Aidil Shahrin. 

Selaku Juara Piala FA, Kedah perlu menampilkan aksi yang berkualiti. Kombinasi dua bek tengah yang kebal dikemudi Renan Alves dan Shakir Hamzah semestinya menjadi taruhan para penyokong pasukan Hijau Kuning. Seperti kebiasaan, khidmat Baddrol Bakhtiar yang menggalas amanah sebagai ketua pasukan akan terus ditagih atas pengalaman yang dimiliki. Kedah mempunyai kelebihan dari segi kualiti pemain dan pengalaman pemain diatas kertas. Namun, apa sahaja mampu terjadi dalam bola sepak.

Berdasarkan dua rekod pertemuan sebelum ini, Kedah menang sekali dan seri sekali. Mereka menewaskan PKNP 2-0 di tempat lawan hasil jaringan Shakir Hamzah dan Jonathan Bauman. Adakah mereka mampu untuk mengulangi kejayaan tersebut malam ini?