Malaysia

Pemain kebangsaan tunjuk belang

Dua penyerang Harimau Malaya, Syafiq Ahmad dan Shahrel Fikri mempamerkan aksi cemerlang bersama pasukan masing-masing dalam saingan Piala Malaysia 2019. Kedua-dua pemain menjaringkan dua gol untuk membantu pasukan mencatat kemenangan sekaligus meraih tiga mata penuh.

Penyerang sensasi kebangsaan yang terkenal dengan tandukan maut, Syafiq Ahmad meneruskan aksi cemerlang dengan menyumbat dua gol dalam perlawanan menentang Petaling Jaya City di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya pada jumaat lepas. Syafiq menghasilkan satu gol melalui rembatan deras pada separuh masa pertama sebelum menghadiahkan gol kemenangan buat Johor Darul Ta’zim melalui satu tandukan mengelirukan yang menewaskan penjaga gawang PJ City. Kemenangan 3-2 keatas PJ City melayakkan JDT ke pusingan suku akhir. 

Perak menewaskan Pahang 3-1 di Ipoh untuk menghidupkan peluang mereka layak ke pusingan seterusnya. Penyerang yang telah lama direhatkan oleh Mehmet Durakovic, Shahrel Fikri membuktikan kualiti diatas padang selepas menjaringkan dua gol pada minit ke-45 dan 47 untuk membenam skuad bimbingan Dollah Salleh yang telah pun melayakkan diri ke pusingan suku akhir dengan mencatat empat kemenangan berturut-turut. Skuad The Bos Gaurus perlu menang keatas Sabah dalam perlawanan terakhir untuk memastikan satu lagi slot kumpulan C menjadi milik mereka.

Kecemrlangan pemain-pemain kebangsaan dalam kancah Piala Malaysia merupakan perkara yang positif. Ini kerana persembahan konsisten mereka mampu untuk memberi impak kepada momentum cemerlang pasukan negara. Malaysia yang dijadualkan untuk bertemu Vietnam pada 10 Oktober depan perlu bersiap sedia dengan lebih awal kerana kualiti permainan dan taktikal Vietnam yang lebih berkualiti mampu mengancam reputasi pasukan Harimau Malaya.